
PUTRAJAYA, 18 Januari– Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran dikenali sebagai sindiket “Iqbal” menerusi satu operasi khas yang dijalankan pada 17 Januari lalu.
- JIM berjaya menumpaskan sindiket "Iqbal" yang aktif sejak awal 2024, mengendalikan penyeludupan migran melalui laluan tidak sah.
- Serbuan menemui pusat transit di kampung; 12 warga Bangladesh dan seorang penjaga Rohingya ditahan.
- Sindiket kenakan RM10,000–RM15,000 seorang, anggaran keuntungan mencecah RM1.5 juta; siasatan lanjut dan tindakan ATIPSOM berjalan.
JIM dalam satu kenyataan berkata operasi dilaksana Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Negeri Kelantan, hasil risikan serta maklumat orang awam.
“Serbuan tertumpu di sebuah premis terpencil di kawasan kampung yang dijadikan rumah penampungan migran yang diseludup masuk ke negara ini melalui laluan tidak sah.”
“Premis berkenaan digunakan sebagai markas transit sementara bagi menempatkan migran yang baharu memasuki negara sebelum dihantar ke destinasi seterusnya,”kata kenyataan itu.
Hasil operasi tersebut membawa kepada penahanan seramai 12 warga Bangladesh, terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 hingga 54 tahun.
Turut ditahan, seorang lelaki warga Myanmar etnik Rohingya berusia 27 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga rumah penampungan berkenaan.
Siasatan awal mendapati kesemua migran terbabit memasuki negara ini sejak tiga hari lalu melalui laluan darat tidak diwartakan atau dikenali sebagai “jalan tikus” di sekitar sempadan Malaysia-Thailand, sebelum ditempatkan di premis itu sementara menunggu baki bayaran kemasukan dilunaskan.
JIM kini mengesan pemilik premis warga tempatan yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket tersebut dan akan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Risikan lanjut mendapati sindiket “Iqbal” aktif sejak awal 2024, diketuai seorang warga Bangladesh dipercayai beroperasi dari Thailand.
“Sindiket ini mengenakan bayaran antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap individu, dengan anggaran keuntungan keseluruhan mencecah RM1.5 juta,” kata kenyataan itu.
JIM menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras aktiviti penyeludupan migran dan pemerdagangan orang, serta memberi amaran bahawa tindakan undang-undang tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
“Orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan melalui saluran aduan rasmi JIM bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terus terpelihara,” jelas kenyataan itu.