
KUCHING, 11 Januari – Sebanyak 26 sekolah di Sarawak dijangka tidak dapat memulakan sesi persekolahan esok susulan situasi banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri ini.
- Mesyuarat Pejabat Pendidikan Daerah putuskan langkah susulan banjir bagi operasi sekolah.
- Sekolah besar dengan dewan boleh beroperasi sebagai PPS tanpa ganggu pembelajaran.
- Sekolah kecil menjadi PPS menyebabkan sesi pengajaran ditangguh atau pelaksanaan PdPR.
- Pelajar terjejas dinasihatkan hubungi pihak sekolah untuk bantuan dan pengurusan pembelajaran.
Perkara itu diputuskan hasil mesyuarat bersama Pejabat Pendidikan Daerah yang diadakan petang tadi.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli berkata, sekolah bersaiz besar yang mempunyai dewan mampu beroperasi serentak sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tanpa menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran.
Namun, beliau berkata sekolah bersaiz kecil seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Endap di Samarahan, SK Tanah Merah dan SK Krusen di Serian serta SK Pengkalan Sorah tidak dapat menjalankan operasi sekolah.
“Sekolah kecil tidak dapat beroperasi serentak apabila bilik darjah digunakan sepenuhnya sebagai PPS,” katanya ketika dihubungi RTM.
Menurutnya, kaedah pengajaran dan pembelajaran alternatif seperti pembelajaran di rumah akan dilaksanakan, atau sesi persekolahan ditangguhkan bergantung kepada kesesuaian keadaan semasa.
Setakat ini, lapan sekolah rendah di Sarawak telah dijadikan PPS bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat banjir.
Dalam pada itu, murid yang terjejas dinasihatkan supaya menghubungi pihak sekolah masing-masing bagi membolehkan bantuan serta pengurusan pembelajaran dilaksanakan dengan sewajarnya.