
KUALA LUMPUR, 9 Januari – Tentera Darat Malaysia (TDM) tidak akan berkompromi dengan salah laku warga angkatan tentera sama ada pegawai atau anggota yang didapati terlibat secara langsung atau tidak langsung berhubung isu tular yang dikaitkan dengan budaya YEYE dalam tentera hingga menimbulkan pelbagai persepsi negatif.
- TDM tidak akan berkompromi dengan salah laku berkaitan budaya YEYE dan akan siasat semua aduan.
- Komitmen untuk mengekalkan integriti, profesionalisme dan keyakinan awam terhadap institusi tentera.
- Tindakan tegas akan diambil mengikut peraturan perkhidmatan dan undang-undang jika terbukti bersalah.
- Pengukuhan pendidikan moral, kesedaran integriti dan aktiviti keagamaan untuk bendung budaya tidak sihat.
Menerusi kenyataan dikeluarkan, TDM memandang serius isu tular itu selain komited untuk memastikan institusi itu terus diyakini, dihormati dan disokong rakyat melalui amalan integriti, profesionalisme tinggi demi keselamatan dan kedaulatan negara.
“TDM akan menjalankan siasatan dalaman terhadap aduan yang diterima dan tindakan tegas terhadap pelaku akan diambil mengikut peraturan perkhidmatan dan undang-undang sedia ada jika terbukti bersalah.
“TDM akan mengadakan penguatkuasaan berterusan melalui Pemerintah di semua pasukan, formasi dan pusat latihan agar memberi peringatan dari semasa ke semasa serta melaksanakan pemantauan berterusan bagi membendung sebarang isu integriti dan aktiviti tidak bermoral di kalangan warganya,” menurut kenyataan itu.
Sebagai langkah preventif, TDM juga akan melaksanakan pemerkasaan pendidikan moral, kesedaran integriti dan etika di semua peringkat formasi selain mempergiatkan aktiviti keagamaan dan kerohanian bagi memupuk nilai profesional serta jati diri warga yang berdisiplin dan berintegriti.