Tiga rumah panjang di Sebauh terjejas, bantuan makanan disegerakan

Keadaan banjir di rumah panjang di Sebauh

BINTULU, 9 Januari – Hujan lebat berterusan sejak semalam hingga banjir menyebabkan tiga buah rumah panjang di daerah Sebauh terputus hubungan, sekali gus menjejaskan bekalan makanan penduduk setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Banjir menyebabkan tiga rumah panjang di Sebauh terputus hubungan dan menjejaskan bekalan makanan penduduk setempat.
  • ADUN Jepak, Iskandar Turkee menyediakan bakul makanan segera, dengan penghantaran dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
  • Pejabat Daerah dan agensi termasuk JKM mempercepatkan bantuan, serta berkongsi nombor telefon penting untuk tindakan kecemasan.

Susulan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee menghulurkan bantuan bakul makanan sebagai langkah segera bagi membantu penduduk yang terkesan.

Penghantaran bantuan berkenaan akan dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke rumah panjang terjejas.

“Kita telah berbincang dengan Pegawai Daerah dan memutuskan untuk meletakkan bakul makanan di sini sebelum penghantaran dibantu oleh pihak APM pada petang ini ke Rumah Anthohy Ego , Rumah Peter Suring dan Rumah Atan Tuah.

“Rumah Peter melibatkan 20 pintu, Rumah Anthohy 11 pintu manakala Rumah Atan 18 pintu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Daerah Bintulu.

Keperluan bantuan telah dikenal pasti dan pihak Pejabat Daerah turut memaklumkan terdapat beberapa rumah panjang lain yang memerlukan bantuan makanan.

“Bantuan seterusnya akan disegerakan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bintulu bagi memastikan bekalan makanan dapat disalurkan kepada penduduk yang terputus hubungan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Bintulu, Awang Muhammed Nizam Awang Ali berkata, semua ketua masyarakat dan ketua kaum di daerah berkenaan telah dimaklumkan mengenai nombor telefon penting agensi kerajaan berkaitan bagi memudahkan penyampaian maklumat kepada komuniti setempat.

“Semua nombor telefon penting, khususnya melibatkan agensi kerajaan, telah dikongsikan kepada ketua masyarakat dan ketua kaum untuk hebahan kepada komuniti di daerah Bintulu.

“Sekiranya berlaku sebarang isu berkaitan banjir atau kecemasan, orang ramai diminta menghubungi talian yang telah dikongsikan. Untuk makluman, bilik operasi sentiasa bersiap siaga dan telah mula beroperasi sejak 2 Januari lalu,” katanya.

Pihak berkuasa menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.