AFCON 2025: Maghribi tampil cemerlang, tewaskan Zambia 3-0

RABAT, 30 Disember – Tuan rumah Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), Maghribi menutup saingan Kumpulan A dengan kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Zambia, pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • El Kaabi mencetak dua gol termasuk sepakan gunting untuk membantu kemenangan besar Maghribi 3-0 ke atas Zambia.
  • Brahim Diaz menjaringkan gol ketiga, menjadikannya penyumbang gol untuk perlawanan ketiga berturut-turut.
  • Maghribi mengumpul tujuh mata dan menduduki tempat pertama Kumpulan A selepas perlawanan itu.
  • Zambia tersingkir, menamatkan kempen di tempat tercorot kumpulan dengan dua mata.

Penyerang Maghribi, Ayoub El Kaabi menjaringkan dua gol, manakala pemain tengah Brahim Diaz menambah satu lagi gol membolehkan Maghribi mengumpul tujuh mata untuk menduduki kedudukan pertama kumpulan, jauh meninggalkan Mali di tangga kedua dengan tiga mata.

El Kaabi membuka jaringan awal melalui tandukan sebelum menambah gol kedua menerusi sepakan gunting ikoniknya, sementara Diaz menjaringkan gol untuk perlawanan ketiga berturut-turut dalam kejohanan tersebut.

Dengan keputusan itu, Zambia tersingkir dari kejohanan selepas menamatkan kempen di kedudukan tercorot kumpulan dengan dua mata, di belakang Comoros berdasarkan perbezaan jaringan.

Kemenangan itu menonjolkan Maghribi sebagai calon utama untuk memenangi kejohanan 24 pasukan tersebut selepas permulaan yang kurang meyakinkan dengan kemenangan tipis ke atas Comoros dan keputusan seri 1-1 menentang Mali pada Jumaat lalu. – REUTERS