MCMC terima 812 aduan penyebaran berita palsu bagi tempoh 1-20 November 2025

KUALA LUMPUR, 24 November – Sebanyak 812 aduan berkaitan penyebaran kandungan atau berita palsu diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi portal CRP (Consumer Redress Portal) bagi tempoh 1 Januari hingga 20 November 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • 812 aduan penyebaran kandungan atau berita palsu diterima MCMC bagi tempoh 1 Jan–20 Nov 2025.
  • Aduan termasuk maklumat palsu mengenai inisiatif STR dan SARA kerajaan.
  • Terdapat penyebaran maklumat bertujuan mencetuskan keresahan dan panik dalam masyarakat.
  • MCMC menjalankan tindakan proaktif termasuk KIS, kerjasama NADI dan JAPEN untuk memerangi berita palsu.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, ia melibatkan maklumat palsu berkaitan inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Beberapa aduan diterima berkaitan penyebaran maklumat palsu mengenai inisiatif kerajaan seperti STR dan SARA. Selain itu terdapat juga aduan yang menunjukkan penyebaran maklumat palsu bertujuan menimbulkan keresahan dan panik dalam kalangan masyarakat,” jelas beliau ketika menjawab soalan ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Tambah beliau MCMC berterusan mengambil tindakan proaktif dalam memeranginya daripada berleluasa.

Antaranya melalui pelaksanaan Kempen Internet Selamat (KIS),  program bersama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Jabatan Penerangan (JAPEN).