KUALA LUMPUR, 18 November – Beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan-M. Thinaah perlu menerima hakikat bahawa semua pihak mahu mereka memberikan aksi terbaik dalam setiap kejohanan yang disertai.
- Pearly-Thinaah mesti terima tekanan dan sasaran tinggi setiap kali turun beraksi.
- Prestasi konsisten mereka mengundang jangkaan untuk kekal di puncak.
- Fokus kepada mengekalkan kecergasan dan mengelakkan kecederaan sebelum kejohanan penting.
- Sasaran termasuk Sukan SEA 2025 dan Jelajah Dunia Akhir 2025, selepas kejayaan Masters Jepun.
Ketua jurulatih beregu wanita negara Rosman Razak berkata gandingan nombor dua dunia itu tidak boleh lari daripada situasi berkenaan termasuk sasaran tinggi yang ditetapkan susulan prestasi konsisten dipamerkan mereka sejak akhir-akhir ini termasuk menjuarai Masters Jepun 2025, Ahad lepas.
“Mereka tidak boleh elak daripada menjadi yang terbaik. Saya rasa mereka pun tahu, setiap kali bertanding, sasaran adalah tinggi.
“Kita perlu terima hakikat itu,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di sini hari ini.
Rosman berkata naib juara dunia 2025 itu juga diharap terus mengekalkan konsistensi, meningkatkan prestasi dan bebas daripada sebarang kecederaan sebelum bersaing pada Sukan SEA 2025 di Thailand diikuti Jelajah Dunia Akhir 2025 di Hangzhou, China, bulan depan.
Pearly-Thinaah muncul juara Masters Jepun menerusi kemenangan 22-20, 21-19 ke atas Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun pada final kejohanan Super 500 di Kumamoto Prefectural Gymnasium.
Selain Masters Jepun, mereka juga telah merangkul dua lagi gelaran iaitu Terbuka Thailand dan Terbuka Artik tahun ini.- BERNAMA