AMMS-8: Malaysia diiktiraf pemacu agenda sukan serantau

HANOI, 21 Oktober– Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan ASEAN ke-8 (AMMS-8) serta mesyuarat ASEAN+Jepun dan ASEAN+China yang berlangsung di Hanoi, Vietnam pada 16 dan 17 Oktober 2025 mencapai beberapa persetujuan penting ke arah memperkukuh kerjasama sukan serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia diiktiraf sebagai Pengerusi ASEAN 2025 atas usaha menjadikan sukan pemacu pertumbuhan, perpaduan dan kecemerlangan melalui 16 inisiatif.
  • Pelaksanaan ASEAN Work Plan on Sports 2021-2025 diiktiraf; End Term Review dijadikan panduan untuk Rangka Kerja 2026-2030.
  • Usaha memajukan Malaysia sebagai ASEAN Centre of Excellence for Sports Coaching untuk jadi hab kejurulatihan serantau.
  • Pelan Industri Sukan Negara akan dilancarkan menjelang akhir 2025 bagi memperkukuh ekosistem sukan negara.
  • Kerjasama ASEAN dengan Jepun dan China meningkatkan penglibatan wanita melalui program ekuiti jantina dan pembangunan kapasiti.

Antara kenyataan bersama yang dipersetujui termasuk mengiktiraf Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 atas usaha menjadikan sukan sebagai pemacu pertumbuhan, perpaduan dan kecemerlangan menerusi 16 inisiatif berkaitan sukan.

Mesyuarat turut mengiktiraf pelaksanaan ASEAN Work Plan on Sports 2021-2025, selain menggunapakai laporan End Term Review sebagai panduan kepada pembangunan ASEAN Work Plan on Sports 2026-2030 sejajar dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

Malaysia dalam mesyuarat itu turut mengalu-alukan kerjasama negara anggota ASEAN untuk menjadikan negara ini sebagai ASEAN Centre of Excellence for Sports Coaching, yang akan berfungsi sebagai hab kejurulatihan serantau.

Selain itu, Malaysia memaklumkan bahawa Pelan Industri Sukan Negara akan dilancarkan menjelang akhir tahun 2025 sebagai langkah memperkukuh ekosistem sukan negara.

Kerjasama ASEAN bersama Jepun dan China pula terus memberi impak positif terhadap penglibatan wanita dalam sukan, hasil pelaksanaan program-program ekuiti gender dan pembangunan kapasiti bersama.

Delegasi Malaysia ke AMMS-8 diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Jefri Ngadirin, Mohd Hilmi Dahlan dari Jabatan Belia dan Sukan Negara.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia kekal komited memperkukuh kerjasama sukan serantau ke arah pembentukan komuniti ASEAN yang inklusif, mampan dan bersatu melalui semangat kesukanan sejati.