Kerajaan fokus tiga strategi utama hadapi gelombang kedua krisis bekalan global


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof/Gambar arkib

MELAKA, 24 April – Kerajaan memberi tumpuan kepada tiga strategi utama bagi memastikan rakyat terus terlindung ketika dunia berdepan gelombang kedua krisis bekalan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jaminan bekalan keperluan asas mencukupi untuk melindungi rakyat daripada gangguan bekalan.
  • Memanjangkan tempoh bekalan melalui pengurusan dan pengagihan sumber secara berhemah.
  • Mengekang kenaikan harga melalui pemantauan rapi dan tindakan tegas terhadap manipulasi pasaran.
  • Kerajaan akan mengurus perubahan global dengan teliti dan tidak membiarkan rakyat bersendirian; orang ramai diseru guna sumber berhemah.

Strategi itu meliputi jaminan bekalan keperluan asas mencukupi, memanjangkan tempoh bekalan melalui pengurusan dan pengagihan sumber secara berhemah, serta mengekang kenaikan harga menerusi pemantauan rapi dan tindakan tegas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, strategi dilaksanakan bagi memastikan rakyat terus dilindungi sementara negara menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan global

“Gelombang kedua ini dijangka berkembang secara berperingkat. Rakyat mungkin akan melihat pelarasan harga bagi barangan tertentu atau gangguan bekalan sementara dalam tempoh akan datang.

“Kerajaan akan terus mengurus perubahan ini dengan teliti supaya kehidupan rakyat kekal terpelihara dan kesannya dapat dikawal,” katanya.

Menurut beliau, selepas lonjakan harga tenaga sebelum ini, dunia kini memasuki fasa baharu melibatkan gangguan bekalan berasaskan minyak dan gas yang memberi kesan rantaian kepada pelbagai sektor.

Beliau turut menegaskan kerajaan tidak akan membiarkan rakyat menghadapi krisis ini bersendirian.

“Semua pihak diseru mengamalkan penggunaan berhemah dan mengelakkan pembaziran, demi memastikan kestabilan negara terus terpelihara,” katanya.