ALOR SETAR, 19 Disember - Ketua Jurulatih Interim Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Victor Andrag, berharap khabar angin yang mengatakan pasukan itu bakal disingkirkan dari Liga Super ekoran masalah yang dihadapi, tidak benar.
Katanya, sekiranya skuad Sang Kenari disingkirkan daripada liga tersebut, ia adalah sesuatu yang menyedihkan kerana kedudukan Kedah yang disifatkan sebagai pasukan elit dan mempunyai sejarah tersendiri dalam arena bola sepak.
“Saya berharap maklumat itu hanya sekadar khabar angin dan tidak menimpa Kedah seperti beberapa pasukan lain sebelum ini.
“Jika ia berlaku, sangat sedih sebab Kedah adalah pasukan elit yang banyak sejarah. Jadi saya harap ia sekadar khabar angin,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan menentang Penang FC di Stadium Darul Aman, di sini malam tadi.
Pada aksi Liga Super itu, KDA FC berjaya menewaskan pasukan dari negeri jiran itu 1-0 menerusi gol tunggal pemain sayap, Sukhrob Nurulloev pada minit ke-10.
Mengulas mengenai aksi malam tadi, Victor berkata pemain KDA FC mempamerkan aksi bertenaga dan menunjukkan kesungguhan untuk memperoleh tiga mata berharga.
Menurutnya, walaupun pasukan sedang menghadapi permasalahan dalaman, pemain dapat memberi fokus kepada permainan seterusnya dan berjaya mendapatkan kemenangan.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Penang FC Wan Rohaimi Wan Ismail, berkata pasukannya mencipta banyak peluang pada perlawanan itu, namun gagal memanfaatkannya untuk menghasilkan gol.
“Saya tidak panik selagi pasukan mampu mencipta peluang dalam perlawanan. Cumanya, tiada penyudah. Mungkin faktor pengalaman, jadi saya positif untuk perlawanan seterusnya,” katanya. - BERNAMA