KUALA LUMPUR, 16 Disember – Atlet pencak silat negara merangkap alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Syafiqah Hamzah menghadiahkan pingat emas pertama kepada Malaysia dalam acara tunggal puteri pada Sukan SEA 2025 di Bangkok, pada Ahad.
Beraksi di pentas akhir di Impact Arena, Muang Thong Thani, Nur Syafiqah mengumpul 9.960 mata untuk menewaskan wakil Brunei, Nur Wasiqah Aziemah Rosihan, yang mencatat 9.920 mata.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata pencapaian Nur Syafiqah membuktikan graduan UPSI berupaya mencipta kecemerlangan di peringkat antarabangsa hasil gabungan disiplin, ketekunan serta sokongan ekosistem pendidikan yang holistik.
“UPSI amat berbangga dengan kejayaan Nur Syafiqah yang bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah mengangkat reputasi universiti sebagai institusi yang melahirkan bakat seimbang dari segi akademik dan kokurikulum,” katanya menerusi satu kenyataan.
Meskipun tidak diletakkan sebagai calon utama pingat emas, atlet berusia 31 tahun itu mempamerkan kebangkitan cemerlang di peringkat separuh akhir apabila menewaskan juara dunia dua kali dari Indonesia, Puspa Arumsari, dengan keputusan 9.955–9.930, sekali gus membalas kekalahan pada final Sukan SEA Phnom Penh 2023.
Kejayaan tersebut turut menamatkan penantian panjang Malaysia dalam acara tunggal puteri, dengan kali terakhir pingat emas dimenangi pada Sukan SEA 2005 di Filipina, sekali gus mengakhiri kemarau hampir dua dekad.
Nur Syafiqah merupakan alumni UPSI yang menamatkan pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Kejurulatihan pada 2019.