LONDON, 16 Januari- Jaringan penyerang Arsenal, Leandro Trossard membantu The Gunners meraih kemenangan 2-1 menentang Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.
Itu juga adalah kemenangan ke-12 Arsenal selepas 21 perlawanan berlangsung musim ini.
Tiga mata tersebut membolehkan skuad bimbingan Mikel Arteta berada di kedudukan kedua liga dengan 43 mata kurang empat mata daripada pendahulu, Liverpool.
Terdahulu, perlawanan yang berlangsung di Stadium Emirates menyaksikan The Gunners bermula perlahan apabila membenarkan Spurs meledak gol awal pada minit ke-25 menerusi Son Heung-min.
Bagaimanapun pada minit ke-40, tuan rumah dapat menyamakan kedudukan hasil jaringan sendiri pemain Spurs, Dominic Solanke.
Tekanan terus dirasai Spurs apabila Arsenal berjaya meledak gol kemenangan pada minit ke-44 menerusi penyerang, Leandro Trossard.
Itu juga adalah kekalahan kedua berturut-turut Spurs dan kini berada di kedudukan ke-13 dengan 24 mata.
Selepas ini, Arsenal dijadual bertemu Aston Villa pada 19 Januari depan sebelum aksi Liga Juara-Juara UEFA, berdepan Dinamo Zagreb.- AFP