KUALA TERENGGANU, 8 Mei- Kontinjen Terengganu yang akan membawa misi besar untuk merampas kejuaraan di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 bagi edisi ke-21 di Sarawak pada Ogos nanti bakal mempertaruhkan jumlah atlet yang lebih ramai berbanding edisi terdahulu.
Sehubungan itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, tiada istilah 'pelancong' mahupun 'penumpang' dalam kontinjennya.
Beliau turut optimis dengan persiapan kontinjen yang berada di momentum terbaik untuk merealisasikan misi keramat buat negeri itu.
Sejak berakhirnya penganjuran edisi terdahulu di Kuala Lumpur, MSNT selaku pemegang taruh utama kontinjen telah merombak sistem pemilihan atlet untuk melepasi penanda aras pemilihan yang tinggi dalam tempoh dua tahun persiapan.
Selain itu, penyertaan atlet wanita dalam kontijen negeri Terengganu dilihat masih seimbang untuk beberapa edisi penganjuran SUKMA akan datang, mengikut perancangan Pelan Induk Pembangunan Sukan 10 Tahun Negeri Terengganu yang menjadi kerangka utama program pembangunan sukan negeri itu.
Mengulas lanjut tentang laporan akhbar tempatan berkaitan kemungkinan ketandusan penyertaan atlet wanita di SUKMA Sarawak nanti, Ahmad Shahrizal tidak menolak situasi itu mungkin berlaku memandangkan selepas pasca-COVID-19 rata-rata kontinjen negeri yang bertanding mengalami kesukaran untuk mendapat barisan pelapis baharu.
Jelas beliau, sekiranya perkara tersebut tidak diambil secara serius, ia mampu merencatkan hala tuju sukan tanah air untuk ke peringkat lebih tinggi.
"Untuk SUKMA 2024 di Sarawak ini, senarai awal untuk pendaftaran kontinjen adalah seramai 217 atlet wanita dan atlet lelaki adalah seramai 237 dengan jumlah keseluruhan seramai 454. Berdasarkan data ini boleh kita katakan penyertaan atlet wanita dalam kontinjen Terengganu masih seimbang seperti mana mengikut perancangan Pelan Induk Pembangunan Sukan 10 Tahun Negeri Terengganu yang menjadi kerangka utama program pembangunan sukan negeri ini.
"Berkaitan dengan liputan akhbar berkaitan ketandusan atlet wanita dalam tempoh beberapa tahun lagi, tidak dinafikan Terengganu juga turut terkesan setelah pasca COVID-19 sehingga kini khususnya melibatkan sukan-sukan berpasukan. COVID-19 yang melanda negara pada empat tahun lalu memberi cabaran buat setiap pemegang taruh untuk mempersiapkan pasukan masing-masing mahupun atlet itu sendiri yang rata-rata berusia masih di bangku sekolah.
"Seperti mana saya pernah berbincang dengan pengarah-pengarah majlis sukan negeri lain sememangnya ianya menjadi kekangan untuk mencari pelapis-pelapis atlet wanita untuk diketengahkan ke pentas SUKMA," katanya ketika ditemui pemberita sewaktu Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri 1445H di Majlis Sukan Negeri Terengganu di sini.
Sebanyak 488 jumlah acara bagi 37 jenis sukan dipertandingkan dalam penganjuran SUKMA Sarawak 2024 nanti, sekali gus meletakkan edisi kali ini mempertaruhkan jumlah acara terbesar sepanjang sejarah penganjuran sejak tahun 1986.
Ahmad Shahrizal Yahaya (kiri) sewaktu menyempurnakan Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri 1445H di Majlis Sukan Negeri Terengganu/MSNT
ARTIKEL BERKAITAN
Sarawak janjikan pembukaan SUKMA XXI yang luar biasa
SUKMA 2024: Kem berbasikal lebuh raya Terengganu idam pingat emas
SUKMA 2024: Terengganu sertai 36 acara kecuali bola keranjang
Persiapan venue Taekwondo SUKMA Sarawak berjalan lancar