LUNDU, 13 Februari- Persiapan bagi venue pertandingan Taekwondo pada temasya Sukan Malaysia SUKMA yang bakal berlangsung pada Ogos depan berjalan lancar.
Presiden Taekwondo Malaysia WTF Azizul Annuar Adenan berkata persediaan rapi kini dibuat bagi memastikan keselesaan kepada para atlet dan kontinjen setiap negeri sepanjang pertandingan tersebut kelak.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Taekwondo Sarawak turut menyahut cabaran untuk membolehkan negeri itu muncul sebagai tuan rumah terbaik dengan penyediaan fasiliti dan pengalaman terbaik.
Katanya, senarai akhir nama atlet setiap negeri yang akan bertarung bagi sukan Taekwondo akan dimuktamadkan pada Mei depan.
Ditanya mengenai sasaran pingat skuad Taekwondo Sarawak bagi SUKMA kali ini pula, Azizul menaruh keyakinan bahawa misi memburu lima pingat emas dapat diraih malah dijangka memberi kejutan sumbangan pingat kepada Sarawak.
Azizul berkata demikian kepada RTM bersempena Sambutan Hari Radio Sedunia@ 0.0 kilometer Telok Melano.