fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: Grace Wong pecah rekod, sambar emas baling tukul besi

Jaguh baling tukul besi wanita negara Grace Wong Xiu Mei/BERNAMA

BANGKOK, 12 Disember – Jaguh baling tukul besi negara, Grace Wong Xiu Mei melakar sejarah baharu apabila meraih pingat emas dan memecahkan rekod temasya sebanyak empat kali pada Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Suphachalasai, hari ini.

Atlet berusia 25 tahun dari Sarawak itu memulakan saingan dengan lontaran sejauh 63.34 meter (m), sekali gus memadam rekod temasya miliknya, 61.87m, yang dicipta pada edisi 2023 di Kemboja.

Dalam balingan kedua, Grace sekali lagi mencipta rekod baharu temasya sambil memadam rekod kebangsaan 63.53m yang dilakukannya pada Kejohanan Olahraga Malaysia di Kangar, Perlis, Ogos lalu, dengan catatan 63.83m.

1212 SKN GRACE RAIH EMAS TUKUL BESI 2Atlet lontar tukul besi wanita negara, Grace Wong Xiu Mei melakukan lontaran 65.41m pada temasya Sukan SEA Thailand 2025/BERNAMA

Keunggulannya berterusan apabila lontaran ketiga menghasilkan 65.09m, sekali lagi memperbaharui rekod temasya dan kebangsaan.

Aksi dominan itu disempurnakan dengan percubaan keempat sejauh 65.41m, catatan terbaik hari ini yang mengesahkan kilauan emas dan rekod baharu temasya serta kebangsaan.

Pingat perak menjadi milik atlet Thailand, Koomphon Mingkamon dengan 60.74m, manakala rakan senegaranya Kaewasuksri Sawitree meraih gangsa dengan 56.27m.

Kejayaan tersebut menambah koleksi peribadi Grace, yang kini telah memenangi empat pingat emas Sukan SEA dalam acara baling tukul besi, selepas turut menjuarainya pada edisi 2017 (Kuala Lumpur), 2021 (Vietnam) dan 2023 (Kemboja).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN