IPOH, 17 OGOS - Perak Bison muncul juara minggu kelima Liga Sepak Takraw (STL) GP Perak selepas menewaskan Kelantan Warriors dalam aksi final di Stadium Indera Mulia, malam tadi.
Dalam perlawanan akhir itu, skuad tuan rumah yang dibarisi Noraizat Nordin (apit kanan), Kritsada (tekong) dan Aidil Aiman (apit kiri) menang straight set 15-11, 15-12.
Kelantan Warriors pula menurunkan gandingan Zulfikri, Sukrit dan Azim, namun gagal mengekang asakan konsisten Perak Bison.
KL Thunder menamatkan saingan di tempat ketiga manakala Johor Tigris di tempat keempat.
Sebagai juara, Perak Bison membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 berserta piala, naib juara RM8,000 berserta trofi, tempat ketiga RM5,000 dan tempat keempat RM3,000.
Kesemua pemain utama Perak Bison turut dinobatkan sebagai tekong, apit kiri dan apit kanan terbaik.
Perlawanan akhir itu turut disaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berkenan menyampaikan hadiah kepada juara. Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.