KUALA LUMPUR, 13 November- Stadium Nasional Bukit Jalil di sini sudah bersedia sepenuhnya untuk digunakan menjelang aksi Malaysia dan Kyrgyzstan dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 16 November ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan segala kerja penambahbaikan telah dilakukan sejak dua minggu lalu.
"Dalam 70 ke 80 peratus dalam keadaan 'top' untuk dipakai. Lebih baik dari PestaBola Merdeka," katanya kepada pemberita.
Sebelum ini, padang baharu yang menggunakan rumput jenis "Zeon Zoysia" hasil sumbangan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu rosak teruk ketika saingan Pestabola Merdeka 2023, bulan lalu.
Sementara itu, Hamidin menyifatkan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menjadi keutamaan berbanding Piala Asia Qatar 2023, Januari depan.
"Pertama, kalau kita layak, makna dalam kedudukan 'top 2', kita akan menjadi 18 pasukan terbaik, (jadi) kita akan lakar sejarah buat pertama kalinya pusingan terakhir ke Piala Dunia.
"Kedua, kita akan layak ke Asian Cup di Arab Saudi 2027. Ketiga, kita akan dapat ranking baik kerana kelayakan Asian Cup pada Januari dan mata yang tinggi dibandingkan friendly sebelum ini. Keempat, pasukan kita akan mendapat 10 permainan bertaraf dunia," katanya.