SYDNEY, 31 Mei - Pasukan kebangsaan Australia bakal tempang menjelang pertemuan dengan Emiriah Arab Bersatu UAE minggu depan apabila pemain tengahnya, Tom Rogic menarik diri daripada menyertai skuad.
Menerusi satu kenyataan, Rogic, yang mempunyai 53 penampilan untuk Socceroos, menyebut alasan peribadi untuk menarik diri daripada playoff dan tidak akan digantikan dalam skuad yang telah dikurangkan kepada 28 pemain.
Socceroos akan ke Doha untuk menentang UAE pada 7 Jun dalam playoff kelayakan Asia, dengan pemenang akan menentang Peru seminggu kemudian untuk mendapat tempat di pusingan akhir Piala Dunia di Qatar tahun ini.
Jurulatih pasukan kebangsaan Graham Arnold menyifatkan situasi itu sebagai "malang" tetapi menegaskan "fokusnya kini mesti tertumpu kepada pemain yang dibawa ke Qatar".
Rogic minggu lalu dinamakan pemain lelaki terbaik Persatuan Bola Sepak Profesional Australia dan telah menjadi pemain tengah utama di kelab Scotland Celtic selama hampir sedekad.
Di sebalik tamparan itu, Arnold berkata dia mempunyai kepercayaan terhadap pemain sedia ada.
"Kami telah memilih skuad berkualiti dan saya percaya kami akan mencapai sesuatu yang istimewa untuk Australia dalam tempoh dua minggu akan datang," katanya.- AFP
(Tom Rogic, menyebut alasan peribadi untuk tidak menyertai pasukannya
menempuhi play-off kelayakan Asia menentang UAE minggu depan)