ROM, 11 Februari-Tandukan pemain gantian Marko Arnautovic pada separuh masa keduaI membolehkan nter Milan meraih kemenangan 2-1 di laman sendiri ke atas Fiorentina pada Isnin sekali gus memastikan mereka kekal mengekori rapat pendahulu, Napoli.
Kemenangan tersebut memberi kelegaan buat Inter yang berada di tempat kedua dengan 54 mata, hanya satu mata di belakang Napoli.
Pada perlawanan berkenaan, Inter menguasai sebahagian besar perlawanan dan melancarkan serangan awal, serta mencipta beberapa peluang, dengan Carlos Augusto dan Lautaro Martinez masing-masing menggegar palang dalam tempoh beberapa minit.
Meskipun serangan Inter tampak bertenaga, momentum mereka sedikit terjejas apabila penyerang Marcus Thuram mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan dan digantikan oleh Arnautovic.
"Kami berkorban banyak dan perlu menunjukkannya di atas padang.
"Hari ini kami meraih tiga mata penting dan semakin mendekati Napoli, tetapi musim masih panjang," kata Arnautovic kepada DAZN.
Meskipun mendominasi perlawanan, Inter hanya berjaya membuka tirai jaringan menerusi gol sendiri pemain Fiorentina, Marin Pongracic, yang tertanduk bola ke gawang sendiri selepas sepakan sudut pada minit ke-28.
Pelawat berjaya menyamakan kedudukan seminit sebelum rehat apabila Rolando Mandragora menyempurnakan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Matteo Darmian ketika cuba menghalang hantaran silang.
Arnautovic meletakkan Inter kembali di hadapan hanya tujuh minit selepas separuh masa kedua bermula, menanduk masuk hantaran silang Augusto dari jarak dekat, sekali gus memastikan kemenangan mutlak buat pasukan tuan rumah.
Augusto mengakui kemenangan itu penting selepas persembahan buruk mereka dalam perlawanan sebelum ini menentang Fiorentina.
"Terdapat perasaan marah kerana di Florence kami tidak bermain seperti diri kami sendiri.
"Adalah normal untuk dikritik, tetapi hari ini kami kembali menunjukkan kekuatan kami," katanya.-REUTERS.