Atlet England nafikan impian Bonnie menang emas berturut-turut

Bonnie terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa. Foto/Bernama

GLASGOW, 24 Julai – Jaguh powerlifting para negara Bonnie Bunyau Gustin terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dalam kategori lightweight lelaki di Sukan Komanwel Glasgow 2026, selepas ditewaskan atlet England Mark Swan di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mark Swan merangkul pingat emas kategori lightweight lelaki dengan angkatan 222kg dan 153.9 mata.
  • Bonnie mencatat angkatan terbaik 220kg dan 153.5 mata untuk pingat gangsa.
  • Bonnie gagal dalam percubaan terakhir 230kg, menamatkan peluang mempertahankan gelaran berturut-turut.
  • Roland Ezuruike dari Nigeria meraih perak dengan angkatan terbaik 185kg dan 153.9 mata.

Juara Paralimpik sebanyak dua kali itu merekodkan angkatan terbaik 220 kilogram (kg) untuk meraih 153.5 mata, manakala Swan merangkul pingat emas pertama temasya tersebut dengan angkatan 222kg dengan mengumpulkan 153.9 mata.

Roland Ezuruike dari Nigeria meraih pingat perak, selepas mengumpul 153.9 mata dengan angkatan terbaik 185kg.

Terdahulu, Bonnie gagal dalam percubaan terakhirnya pada bebanan 230kg.

Keputusan itu menamatkan impian juara dunia empat kali dari Sarawak itu untuk merangkul kejuaraan Sukan Komanwel secara berturut-turut, selepas meraih kejayaan di Birmingham 2022 dengan rekod temasya menerusi angkatan 220kg.

Malaysia menyasarkan lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa merentasi lapan daripada 10 sukan yang dipertandingkan, termasuk enam sukan para.

Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang dibuka secara rasmi semalam, akan berlangsung sehingga 2 Ogos. – Bernama

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.