fb fb fb fb fb

Seri 1-1 dengan Valencia, Xavi mahu pasukan bangkit buru kemenangan

Foto AFP

BARCELONA, 17 Disember- Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez berkata pasukannya "memberi dua mata" kepada Valencia dalam keputusan seri 1-1 yang tegang pada Ahad dalam aksi La Liga.

Gergasi Catalan itu kini menduduki tempat ketiga, satu mata di depan Atletico Madrid, mengekori Real Madrid dengan empat mata dan enam mata di belakang pendahulu Girona, setelah bermain lebih satu perlawanan daripada ketiga-tiga pasukan.

Atletico Madrid tumbang 0-2 kepada Athletic Bilbao pada awal Sabtu tetapi pasukan Catalan itu tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya dalam pertembungan menghiburkan di pantai timur.

Joao Felix meletakkan Barcelona di depan pada separuh masa kedua selepas gerakan licik pasukan, tetapi rembatan halus, Hugo Guillamon menambat kembali keputusan perlawanan.

“Kami perlu menjadi lebih kuat di dalam kotak lawan, peluang begitu jelas dan kami tidak memenangi perlawanan itu."

"Saya fikir kami memberikan dua mata, kerana pasukan mempunyai permainan yang sangat baik. Kami hanya membawa pulang satu mata, kami sangat tidak berpuas hati,” kata Xavi kepada Movistar.

Barcelona hanya memenangi satu daripada empat perlawanan liga terakhir mereka, termasuk ditewaskan Girona 2-4 di laman sendiri, hujung minggu lalu.

Mereka digemparkan lagi dengan kekalahan Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu oleh pasukan Belgium, Royal Antwerp, yang menimbulkan persoalan lanjut mengenai pengurusan Xavi meski pasukan Catalan itu sudah mara ke pusingan 16 terakhir.

“Apa-apa sahaja yang bukan tiga mata adalah tamparan yang sukar untuk kami."

"Kami melakukan banyak perkara dengan betul tetapi kami tidak mendapat gol, saya rasa permainan kami jauh lebih baik daripada perlawanan Girona, di mana kami tidak bagus,” kata pemain tengah Barca, Pedri kepada Movistar.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu turut menegaskan bahawa pasukan sentiasa menyokong kepimpinan Xavi.

"Kami bersama jurulatih, ini bukan saat yang baik untuk mana-mana daripada kami. Kami perlu bersatu untuk mengubahnya," tambah Pedri.

Keputusan seri itu menjadikan Valencia di tempat ke-10, dengan skuad Baraja jauh lebih mantap berbanding musim lalu apabila mereka bergelut dengan penyingkiran.

Girona bakal menerima kunjungan Alaves pada Isnin, selepas Real Madrid menyambut Villarreal pada Ahad untuk aksi La Liga yang seterusnya.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM