fb fb fb fb fb

'Sarawak Sport Village' akan siap sepenuhnya pada Jun depan

'Sarawak Sport Village' akan siap sepenuhnya pada Jun depan

KUCHING, 25 Mac- Projek Perkampungan Sukan Sarawak atau Sarawak Sport Village (SSV) akan siap sepenuhnya pada Jun depan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah optimis fasiliti itu dapat digunakan pada Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-21 pada Ogos kelak.

Menurut Datuk Seri Abdul Karim, projek pembinaan SSV kini sudah mencapai 90 peratus dan ia merupakan tempat penginapan bagi para atlet dan pegawai pengiring kontinjen Sarawak.

“kita telah diberi jaminan (assurance) oleh kontraktor bawah mereka akan dapat menyiapkan 10 peratus itu” ujarnya kepada RTM selepas mengadakan lawatan ke beberapa tapak projek pembangunan SUKMA Sarawak hari ini.

Terdahulu Datuk Seri Abdul Karim turut mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Dewan Wushu yang turut dijangka dapat digunakan sepenuhnya pada Jun ini.

Mengulas lanjut katanya, Dewan Wushu yang terletak di Petra Jaya itu bakal menjadi tempat Dewan Wushu terbesar di Malaysia.

Pada masa sama, beliau turut mengadakan lawatan ke Stadium Sarawak bagi melihat kemajuan fizikal projek Stadium Sarawak yang merupakan tempat acara sukan Bola Sepak Wanita dan acara Olahraga yang juga merupakan tempat bagi acara pembukaan SUKMA Sarawak.

ROSLINA BINTI DIN