KOTA KINABALU, 14 Jun - Sabah FC dijangka beraksi tanpa dua tonggak utama Gabriel Perez dan Darren Lok, menentang Kuala Lumpur Rovers pada saingan Piala FA di Stadium Likas, malam esok.
Bagaimanapun, Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee berkata, Sabah FC tidak menghadapi masalah besar berikutan pemain lain bersedia mengisi kekosongan yang ditinggalkan mereka.
"Pemain-pemain perlu buktikan mereka layak mengisi kekosongan itu. Jika gagal menunjukkan prestasi yang baik kemungkinan besar mereka akan ketinggalan dengan pemain-pemain lain.
"Saya tetap menurunkan pemain terbaik, ini penting untuk kita meneruskan momentum pada masa yang sama pemain-pemain yang diberi peluang bermain di Jakarta tempoh hari kemungkinan besar akan diturunkan.
"Tetapi pada situasi perlawanan, saya harus menentukan siapa yang bakal diturunkan atau digantikan terpulang kepada keadaan permainan ketika perlawanan berlangsung," katanya kepada RTM.
Mengulas persiapan menjelang perlawanan malam esok, Kim Swee berkata, ini merupakan perlawanan pertama skuad Badak di laman sendiri selepas kembali dari Jakarta, Indonesia.
Sabah FC akan meneruskan momentum untuk memberikan peluang kepada para pemain yang beraksi di Jakarta tempoh hari untuk diturunkan namun bergantung kepada situasi perlawanan.
Jelasnya, Piala Malaysia cukup penting bagi Sabah FC sekali gus berharap mampu memperoleh keputusan positif pada perlawanan tersebut.