fb fb fb fb fb

Perak FC raih kemenangan pertama di laman sendiri

Perak FC tewaskan KL City 1-0 malam tadi/Foto Facebook Perak FC

IPOH, 22 September – Perak FC akhirnya meraih kemenangan pertama di laman sendiri untuk saingan Liga Super musim ini selepas menewaskan KL City FC 1-0 dalam perlawanan yang sengit malam tadi.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh penyerang import, Luka Milunovic, pada minit ke-62, menerusi hantaran kemas daripada Nur Azfar Fikri.

Babak pertama berakhir tanpa sebarang jaringan, walaupun kedua-dua pasukan melakukan beberapa percubaan berbahaya.

Memasuki separuh masa kedua, Perak FC meningkatkan tempo permainan dengan serangan bertali arus ke arah kubu KL City FC, sebelum berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-62.

KL City FC cuba untuk menyamakan kedudukan tetapi gagal memanfaatkan beberapa peluang yang dicipta.

Tamat perlawanan Perak FC 1, KL City FC 0 menjadi keputusan akhir perlawanan, dengan tuan rumah mengutip tiga mata penuh.

Jurulatih Perak, Yusri Che Lah, menyatakan rasa lega dengan kemenangan tersebut.

"Takdir Allah memberikan kami tiga mata pada malam ini. Walaupun persembahan kami tidaklah sehebat mana, kesungguhan para pemain jelas kelihatan, dan kredit diberikan kepada mereka," katanya.

Sementara itu, pengendali KL City FC, Miroslav Kuljanac, mengakui ketiadaan beberapa tonggak utama, termasuk Paulo Josue dan Hakimi, menjejaskan corak permainan pasukannya.

"Tanpa Paulo Josue dan Hakimi, ia agak sukar. Kami terpaksa mencuba pelbagai gabungan, tetapi pemain telah memberikan yang terbaik dalam situasi ini," jelas Kuljanac.

GRACE AISYAH KEDAYAN