fb fb fb fb fb

Mohamad Faisal mahu terus jadi ‘mesin gol’ ketika bertemu Vietnam

(Ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon (kanan) bersama pemain sayap kiri Mohamad Faisal Abdul Halim
pada sidang media aksi ketiga Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022
di Ibu Pejabat Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF)/BERNAMA)

HANOI, 26 Disember- Pemain sayap sensasi negara Mohamad Faisal Abdul Halim mempunyai misi serampang dua mata pada perlawanan ketiga Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh di sini esok. 

Mohamad Faisal, yang meledak keseluruhan tiga gol untuk muncul penjaring terbanyak bersama kejohanan setakat ini, berazam melebarkan rekod jaringannya dan memastikan Malaysia meraih kemenangan sekali gus mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir.

Pemain baharu Selangor FC berusia 24 tahun itu sekali lagi menegaskan skuad Harimau Malaya bertandang ke Hanoi untuk membawa pulang tiga mata dan akan memberikan segalanya di padang untuk merealisasikan perkara tersebut.

“Perlawanan esok adalah aksi yang sukar dan kebanyakan pemain akan beraksi menentang Vietnam buat pertama kali, jadi saya perlu terus meledak gol dan bantu pasukan.

“Kami datang sini untuk menang dan tidak mahu dimalukan kerana mahu keluarga dan rakyat Malaysia bangga. Vietnam ada pemain yang baik tapi kami sudah sedia dengan cabaran mereka,” katanya pada sidang media praperlawanan di Ibu Pejabat Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) di sini hari ini.

Pada masa sama, Mohamad Faisal berkata beliau memiliki keyakinan tinggi terhadap rakan sepasukan meskipun banyak pihak pada awalnya meragui kemampuan skuad itu selepas senarai akhir 23 pemain dikeluarkan susulan ketiadaan ramai pemain utama.

Beliau percaya setiap pemain mempunyai potensi serta berupaya memainkan peranan masing-masing dengan baik namun tidak memiliki peluang dan ruang untuk mempamerkan kemampuan bersama pasukan negara.

(Pemain sayap kiri kebangsaan Mohamad Faisal Abdul Halim bercakap pada sidang media aksi ketiga Kumpulan B
saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Ibu Pejabat Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF)/BERNAMA)

Malaysia menewaskan Myanmar 1-0 pada aksi pembukaan kumpulan di Yangon Rabu lepas sebelum membelasah Laos 5-0 di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada Sabtu.

Selepas dua perlawanan, Malaysia mendahului saingan kumpulan dengan mengumpul enam mata, Vietnam dan Singapura yang baru beraksi sekali masing-masing berkongsi tiga mata di posisi kedua dan ketiga manakala Myanmar dan Laos di kedudukan dua tercorot tanpa mata.

Untuk rekod, percubaan Malaysia meraih kemenangan ketika berdepan Vietnam dalam tempoh hampir sedekad ini sering menemui jalan buntu yang menyaksikan badi tanpa kemenangan sejak 2014 masih belum berjaya ditamatkan.

Tempoh lapan tahun kebelakangan ini menyaksikan Malaysia belum berjaya menumpaskan Vietnam dalam semua pertandingan - kalah enam kali dan seri sekali. Kali terakhir Malaysia menang ialah pada separuh akhir kedua Piala AFF 2014 dengan keputusan 4-2. -BERNAMA

 

Media Baharu