fb fb fb fb fb

Rossi dilantik CEO MFL baharu, menggantikan Stuart

Pengumuman ini bagi menggantikan Datuk Stuart Ramalingam yang tamat kontrak pada 31 Ogos 2024./ Foto FB

PETALING JAYA, 5 September - Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan pelantikan Giorgio Pompili Rossi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL yang baharu.

Pompili Rossi, bekas Delegasi LaLiga di Malaysia, bakal menggantikan Datuk Stuart Ramalingam yang tamat kontrak pada 31 Ogos 2024.

Pelantikan Rossi, yang merupakan warga asing pertama dalam jawatan CEO MFL, diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL pada mesyuarat 4 September 2024.

Rossi mempunyai pengalaman luas dalam industri bola sepak, bermula dari agensi komersial Kelab Serie A pada 2013, dan berperanan penting di Valencia CF serta LaLiga sebelum memulakan tugas sebagai Delegasi LaLiga Malaysia pada 2017 hingga 2021.

Beliau kemudian berkhidmat di Thailand sebagai Delegasi LaLiga, dengan operasi turut meliputi Laos, Kemboja, dan Myanmar, sebelum dilantik sebagai CEO MFL.

Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, menyatakan, “Kami mengalu-alukan kedatangan Pompili Rossi dan percaya kepada kebolehan serta kepakarannya dalam menguruskan operasi MFL, terutama dalam aspek pertandingan dan komersial Liga Malaysia. Beliau akan memulakan tugas selepas proses visa selesai.”

Dato’ Ab Ghani juga memberi penghargaan kepada Datuk Stuart Ramalingam atas sumbangannya selama tiga tahun, termasuk penstrukturan semula Liga Malaysia, penggunaan VAR, dan peningkatan nilai komersial liga.

Trainee