BUENOS AIRES, 19 April-Bintang Argentina Lionel Messi menolak dakwaan bahawa terdapat ketegangan antara Argentina dan Mexico, sambil menyatakan bahawa perkara berkenaan tidak pernah wujud.
Rakaman video dari bilik persalinan selepas perlawanan kumpulan Mexico menentang Argentina di Piala Dunia Qatar 2022 menunjukkan Messi seolah-olah menyepak jersi kapten Mexico, Andres Guardado, yang mencetuskan kekecohan media.
"Mereka meletakkan diri dalam kedudukan seolah-olah ada persaingan dengan kami yang sebenarnya tidak wujud," kata Messi kepada Simplemente Futbol.
"Tiada perbandingan antara Argentina dan Mexico dan saya tidak tahu dari mana datangnya perkara ini."
Messi menegaskan bahawa hubungannya dengan rakyat Mexico kekal positif.
"Saya sentiasa rasa sangat disayangi oleh rakyat Mexico, saya tidak pernah tidak menghormati sesiapa," katanya.
Pemenang Ballon d'Or sebanyak lapan kali itu mengimbas kembali gol pentingnya menentang Mexico di Qatar, menyifatkannya sebagai satu kelegaan besar yang menghidupkan semula peluang pasukan itu di kempen Piala Dunia 2022.
"Gol yang paling saya nikmati di Qatar adalah ketika menentang Mexico. Bukan kerana penyokong, jauh sekali.
"Ia adalah satu kelegaan besar dan memberi kami peluang untuk kembali menjadi diri kami semula," kata Messi, yang telah menjaringkan empat gol menentang Mexico sejak 2006 dan tidak pernah kalah dalam enam pertemuan dengan Mexico.-REUTERS.