
LANGKAWI, 22 Oktober – Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Samsulmuddin Sulaiman, meninggal dunia pada 3.21 pagi tadi di Hospital Sultanah Maliha, di sini, akibat kegagalan pelbagai organ.
- Meninggal dunia di Hospital Sultanah Maliha pada 3.21 pagi akibat kegagalan pelbagai organ.
- Telah dirawat sejak 19 Oktober kerana kegagalan pernafasan.
- Dilaporkan kritikal, ditempatkan di wad pengasingan dan ditidurkan selepas 54 minit CPR serta bantuan pernafasan.
- Solat jenazah dijadualkan di Surau Al-Fateh tengah hari, dikebumikan di Masjid Al-Qadim Kuah kira-kira pukul 1; meninggalkan isteri dan empat anak.
Allahyarham Samsulmuddin, 52, sebelum ini menerima rawatan di hospital berkenaan sejak 19 Oktober lalu akibat kegagalan pernafasan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Khairul Azhar Nuruddin, mengesahkan pemergian Allahyarham ketika dihubungi RTM.
Beliau berkata, Allahyarham dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di wad pengasingan sebelum ditidurkan selepas menerima bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama 54 minit serta bantuan pernafasan.
Solat jenazah dijadualkan berlangsung di Surau Al-Fateh, Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi, pada 12 tengah hari ini sebelum dikebumikan di Masjid Al-Qadim, Kuah, kira-kira pukul 1 tengah hari.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.