LONDON, 23 Januari-Manchester City telah menandatangani penyerang muda Mesir, Omar Marmoush, dari kelab Bundesliga Eintracht Frankfurt dengan kontrak selama empat setengah tahun, umum berkenaan pada Khamis.
Kedua-dua kelab tidak mendedahkan butiran perjanjian, namun media Britain melaporkan bahawa perjanjian untuk mendapatkan pemain antarabangsa Mesir berusia 25 tahun itu bernilai sekitar 70 juta euro (AS$72.80 juta) beserta bonus.
Marmoush,menjadi pemain ketiga City dalam jendela perpindahan Januari selepas kehadiran pemain pertahanan tengah Abdukodir Khusanov dan Vitor Reis, telah menjaringkan 37 gol dan 20 bantuan gol dalam 67 perlawanan sejak menyertai Frankfurt dari kelab Jerman VfL Wolfsburg pada tahun 2023.
"Dengan Pep (Guardiola), pasukan teknikalnya dan kemudahan bertaraf dunia di sini, pemain mempunyai segala yang mereka perlukan untuk menjadi lebih baik.
"Itu sangat menarik bagi saya apabila mendapat peluang untuk datang ke sini," kata Marmoush dalam satu kenyataan.
"Saya juga tidak boleh menafikan bahawa saya mahu memenangi trofi.
"City telah menjadi kelab paling berjaya di England selama bertahun-tahun, jadi saya tahu saya menyertai persekitaran dan budaya juara.
"Saya ingin menjadi sebahagian daripada anggota yang dihargai dalam pasukan pemenang ini", jelasnya.
"Saya benar-benar tidak sabar untuk memulakan, bertemu pemain lain, dan menunjukkan kepada peminat Manchester City apa yang saya mampu lakukan", tambahnya.
Marmoush telah menjaringkan 15 gol dalam Bundesliga musim ini, menjadikannya penjaring kedua terbanyak di belakang penyerang Bayern Munich, Harry Kane.
Dia telah mewakili negaranya sebanyak 35 kali dan juga pernah bermain untuk kelab Mesir Wadi Degla, serta melalui tempoh pinjaman di St Pauli dan VfB Stuttgart.
City kini berada di kedudukan kelima dalam liga dan ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu Liverpool, yang masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.-REUTERS.