fb fb fb fb fb

Malayan Tigress kalah tipis di aksi pembukaan Piala AFF 2024

Malayan Tigress memulakan kempen Piala AFF Wanita 2024 dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Indonesia dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional KM16, Vientiane, Laos, pada Selasa / Foto Hiasan / Bernama

VIENTIANE, 27 November – Skuad bola sepak wanita kebangsaan, Malayan Tigress memulakan kempen Piala AFF Wanita 2024 dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Indonesia dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional KM16, Vientiane, Laos, pada Selasa.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain Indonesia, Claudia Scheunemann pada minit ke-79, sekali gus memastikan kemenangan buat pasukan lawan.

Ketua jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi tetap optimis bahawa pasukan bimbingannya mampu bangkit dalam perlawanan seterusnya untuk terus bersaing merebut tempat ke separuh akhir.

“Semua pemain telah memberikan 100 peratus usaha mereka. Kami akan menilai semula perlawanan ini untuk memperbaiki kelemahan dan beraksi lebih baik selepas ini. Apa pun, perjalanan kami dalam kejohanan ini masih belum berakhir,” katanya.

Malaysia, yang diundi dalam Kumpulan B, dijadual menentang Kemboja Jumaat ini di Padang Simpanan KM16, Vientiane.

Mengikut format kejohanan yang melibatkan enam pasukan, perlawanan peringkat kumpulan akan dijalankan secara liga sepusingan dengan dua pasukan terbaik layak ke separuh akhir yang akan berlangsung pada 2 Disember nanti.

Sementara itu, pemain kebangsaan, Siti Nurfaizah Saidin mengakui berasa kecewa dengan keputusan perlawanan namun tetap bersemangat untuk bangkit.

“Sudah tentu saya kecewa dengan kekalahan ini, namun saya gembira dengan prestasi kami. Saya dan rakan-rakan sudah memberikan yang terbaik dan kami akan pastikan untuk kembali lebih kuat selepas ini,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN