fb fb fb fb fb

KPRJ buka tirai sambutan 30 tahun dengan ayunan golf, erat hubungan bersama media

Para peserta termasuk wakil media, pemimpin negeri dan tetamu korporat merakamkan gambar kenangan sebelum memulakan pukulan pertama (tee-off) sempena KPRJ 30th Anniversary Golf Invitational di Johor Golf & Country Club (JGCC)

JOHOR BAHRU, 3 November - Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) membuka tirai sambutan Ulang Tahun Ke-30 dengan gaya berbeza apabila menganjurkan jemputan golf eksklusif yang menghimpunkan wakil media nasional dan barisan kepimpinan utama negeri diohor Golf & Country Club (JGCC) semalam.

Acara santai namun berprestij itu bukan sekadar meraikan hubungan akrab KPRJ bersama rakan media, malah mencerminkan semangat kesukanan, setiakawan dan kolaborasi yang telah terjalin selama tiga dekad dalam memacu pembangunan Johor.

Turut hadir memeriahkan program tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah; serta Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Datuk Lukman Abu Bakar.

Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Abdul Manap, menyifatkan penganjuran tersebut sebagai satu inisiatif bermakna yang memperkukuh hubungan dua hala antara media dan KPRJ.

“Acara seperti ini memperlihatkan keterbukaan dan rasa saling menghargai antara KPRJ dan rakan media. Ia bukan sahaja mengeratkan hubungan, tetapi menjadi platform santai untuk memperkukuh sinergi menjelang era baharu KPRJ,” katanya.

Menjelang sambutan rasmi Pelancaran Identiti Baharu KPRJ pada 17 November ini, acara golf tersebut menjadi simbol permulaan perjalanan baharu organisasi itu yang kini bersedia memperkenalkan wajah korporat lebih segar dan berpandangan jauh di bawah tema ‘3 Dekad Membina Legasi, Mencorakkan Masa Hadapan.’

Sebagai entiti yang memainkan peranan penting dalam landskap pembangunan Johor sejak 1995, KPRJ menggunakan sambutan ulang tahun kali ini untuk menghargai sumbangan pelbagai pihak yang telah bersama membina legasi korporatnya.

Dengan semangat kesukanan sebagai medium penyatuan, jemputan golf eksklusif itu menandakan permulaan yang positif ke arah fasa baharu, bukan sahaja bagi KPRJ sebagai organisasi, tetapi juga bagi jaringan kerjasama strategik yang terus memperkukuh ekosistem pembangunan negeri Johor.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE