SUNGAI PETANI, 11 Februari-Kemelut pembayaran gaji pemain KDA FC yang belum selesai sehingga kini perlu campurtangan kerajaan Negeri Kedah untuk diselesaikan bagi memastikan kebajikan pemain terbela.
Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari berkata seharusnya Exco Belia dan Sukan negeri yang juga bekas pemain bola sepak Kedah berusaha membantu mencari penyelesaian dan tidak membiarkan kemelut tersebut berterusan .
"Saya memohon kepada Exco berkenaan agar melihat keadaan ini.Saya tahu dalam pentadbiran negeri terdapat beberapa bekas pemain negeri faham dengan perjuangan para pemain.
"Saya mengharapkan para bekas pemain dalam kerajaan Negeri Kedah dapat cakna tentang kebajikan para pemain", katanya demikian ketika diminta mengulas situasi terkini yang dihadapi oleh pasukan Sang Kenari itu.
Sehingga kini, kemelut kewangan KDA FC masih belum menemui jalan penyelesaian, walaupun pelbagai usaha sedang dilakukan oleh pemilik majoritinya Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.
Keadaan ini telah menyebabkan beberapa pemain utama, termasuk pemain import dan tempatan, bertindak meninggalkan pasukan akibat kelewatan pembayaran gaji selama beberapa bulan.
Baru-baru ini pemain KDA FC Alif Farhan terpaksa menjual koleksi jersi bolasepak di media sosial bagi menampung pendapatan susulan kemelut yang dihadapi oleh persatuan tersebut.