fb fb fb fb fb

Kedah rombak pasukan, lepaskan kesemua pemain import musim 2023

FOTO KDA FC

ALOR SETAR, 5 Mac- Pihak pengurusan Kedah Darul Aman, KDA FC melakukan rombakan besar-besaran bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim akan datang.

Antara keputusan drastik yang diambil termasuk melepaskan kesemua lapan pemain import yang membantu pasukan itu musim lalu iaitu Ifedayo Olusegun, Bojan Ciger, Moses Atede, Manuel Hidalgo, Amirbek Juraboev, Ebenezer Assifuah, Alan Robertson dan Jonatan Balotelli.

Turut dilepaskan, lima pemain tempatan iaitu Rodney Celvin Akwensive, Mior Dani Armin Mior Ariffen, Muhammad Azrin Afiq Rusmini, Mohammad Zharmein Ashraf Ismail, dan Muhammad Faizal Muhammad Talib.

Selain itu, jurulatih kecergasan dari Brazil, Antonio Silvio Santos Concalves dan Koordinator Pasukan Liga Super Kedah musim 2023, ZuI FadIi Rozi turut mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan Kenari.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman Facebook rasminya, KDA FC turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan pemain tempatan dan import serta pegawai terlibat atas dedikasi mereka sepanjang musim.

“Terima kasih kepada lapan pemain import dan lima pemain tempatan serta pegawai pasukan KDA FC musim 2023 atas sumbangan dan perjuangan hebat mereka kepada pasukan Liga Super Kedah Darul Aman FC sehingga menjadi empat pasukan terbaik liga.

"Prestasi cemerlang dan semangat juang yang dipamerkan dalam mengangkat mutu permainan Sang Kenari musim lepas dan memberikan impak positif kepada pasukan menjadi inspirasi kepada kita semua,"menurut hantaran tersebut.

Untuk musim baharu saingan Liga Super 2024-2025, pihak pengurusan KDA FC membawa haluan berbeza dan mengucapkan selamat maju jaya buat semua pemain bersama kelab baharu.

“Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada keluarga Sang Kenari..” Kata KDA FC.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE