ALOR SETAR, 28 Oktober - Pengurusan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akui pasukan itu mengalami masalah kewangan yang menyebabkan tunggakan gaji pemain, jurulatih dan pegawai pasukan sejak Julai lalu.
Pemilik saham KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengesahkan perkara itu tampil memohon maaf kepada seluruh peminat bola sepak negeri itu serta berjanji akan menyelesaikan masalah yang dihadapi pasukan itu pada ketika ini.
"Saya dengan rasa rendah hati tidak kesempurnaan diri ingin memohon maaf kepada ketua jurulatih liga super Nafuzi Zain, pegawai yang lain dan ahli keluarga di atas masalah kewangan yang sedang dihadapi oleh KDA FC.
"Insya-Allah situasi ini sedang cuba kita atasi dengan pelbagai cara, sedaya mungkin dengan kami menyasarkan pembayaran gaji akan kembali normal Disember depan. Sehingga tempoh itu, kami akan memastikan pembayaran gaji tidak tertunggak melebihi dua bulan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Jelasnya, kini pihaknya telah menyelesaikan separuh daripada gaji bulan Ogos dan perancangan sedang dilakukan bagi melunaskan baki bayaran gaji bulan berkenaan manakala gaji bulan Sept akan dijelaskan pada November ini.
Mohd Daud juga menyatakan kesediaannya untuk menjual saham-saham syarikatnya bagi mendapatkan dana untuk pembayaran gaji dan menyelamatkan KDA FC.
Malah, beliau sedia berundur diri sekiranya ada pihak lain yang berminat untuk mengambil alih pengurusan KDA FC sekiranya mendapat tawaran yang berpatutan.