SEPANG, 11 September- Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Harrif Saleh mengesahkan kecederaan dialami ketika menyertai Tour of Binzhou di China baru-baru ini tidak menjejaskan persiapan bagi menghadapi Le Tour de Langkawi (LTdL) yang akan berlangsung dari 28 September hingga 5 Oktober ini.
Beliau menjelaskan bahawa dirinya hanya mengalami luka ringan di bahagian badan dan akan akan menjalani pemeriksaan lanjut sebelum membuat keputusan muktamad.
“Kalau sebut LTdL memang semangat nak berlumba. Luka-luka ini biasa, saya rasa seminggu sudah pulih,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Harrif turut menyatakan keyakinan terhadap prestasi pasukan, khususnya gandingan bersama Wan Abdul Rahman Hamdan, pelumba pecut baharu TSG.
“Sekarang saya ada sandaran, jadi tekanan saya berkurang. Jika saya tersepit, dia ada, dan jika dia tersepit, saya pula masih ada,” jelasnya.
Mengulas laluan perlumbaan tahun ini, Harrif melihat peluang lebih terbuka kepada pelumba pecut.
“Ramai pelumba hebat turun. Bila kita jumpa yang hebat-hebat, kita lagi bersemangat nak ukur tahap kemampuan. Laluan tahun ini banyak untuk pelumba pecut. Jadi, saya akan manfaatkan peluang itu,” katanya.
Terdahulu, Harrif berdepan detik ngeri apabila mengalami kecederaan di muka selepas terbabit kemalangan ketika menyertai Tour of Binzhou di China, hari ini.
Bagaimanapun, insiden itu tidak mematahkan semangat Harrif yang dijadual beraksi dalam satu lagi perlumbaan di Tour of Huangshan dari 19 hingga 21 September ini sebagai persiapan terakhir sebelum LTdL 2025.
