KUALA LUMPUR, 21 November - Penyerang kebangsaan, Darren Lok memastikan Harimau Malaya meneruskan momentum kemenangan selepas menundukkan Taiwan 1-0 pada aksi Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Perbandaran Taiwan, sebentar tadi.
Pemain Sabah FC itu dimasukkan pada babak kedua menggantikan Paulo Josue, muncul wira skuad negara apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-72.
Ketua Jurulatih Kim Pan Gon membuat empat pertukaran dalam kesebelasan utama pasukan yang menewaskan Kyrgyzstan minggu lepas dengan menurunkan Junior Eldstal,
Mohd Afiq Fazail, Paulo Josue dan Akhyar Abdul Rashid.
Pemain sayap, Mohamad Faisal Abdul Halim terdahulu mensia-siakan peluang keemasan untuk mendahului selepas gagal menyempurnakan umpanan Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-43.
Berbaki 30 minit sebelum wisel penamat, Pan Gon membawa masuk Darren Lok dan Endrick Dos Santos sebagai pemain gantian.
Percaturan itu membuahkan hasil apabila Darren menyumbat gol yang dicari-cari ketika permainan berbaki 18 minit.
Pemain itu tenang menyambar bola hasil tampanan kurang kemas penjaga gol Taiwan ketika menepis percubaan leret Endrick dari sebelah kanan.
Malaysia selepas ini akan bertemu Oman pada 21 Mac tahun depan untuk perlawanan ketiga.