
TUMPAT, 16 Ogos – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menggagalkan cubaan menyeludup produk kosmetik dari Thailand bernilai RM12,310 dalam dua serbuan berasingan di kawasan sempadan Kelantan, malam tadi.
- Serbuan pertama kira-kira 11.20 malam di bawah Jambatan Pulau Ular, Pengkalan Kubor; beberapa lelaki melarikan diri ke Thailand menggunakan perahu.
- Pemeriksaan menemui 354 unit produk kosmetik Thailand bernilai RM5,310, ditinggalkan dan dibawa ke Komtak PGA Pengkalan Kubor selepas menunggu 30 minit.
- Serbuan kedua kira-kira 11 malam di Pengkalan Haram Poksu, Rantau Panjang; tujuh kotak besar produk kosmetik bertulisan Thailand, tiada pemilik dikesan.
- Kes pertama disiasat mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984; kes kedua mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan pertama kira-kira 11.20 malam di bawah Jambatan Pulau Ular, Pengkalan Kubor.
Katanya, anggota PGA melihat beberapa lelaki sedang memunggah barangan sebelum mereka melarikan diri ke Thailand menggunakan perahu ketika dihampiri.
“Pemeriksaan menemukan 354 unit produk kosmetik Thailand bernilai RM5,310 yang ditinggalkan di lokasi.
“Anggota menunggu kira-kira 30 minit namun tiada individu datang menuntut barangan berkenaan sebelum ia dibawa ke Komtak PGA Pengkalan Kubor,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Ahmad Radzi berkata, rampasan itu diserahkan kepada Bahagian Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.
Dalam serbuan kedua kira-kira 11 malam, anggota PGA menemui tujuh kotak besar mengandungi pelbagai produk kosmetik bertulisan Thailand di Pengkalan Haram Poksu, Rantau Panjang.
“Pemeriksaan mendapati barangan itu dipercayai diseludup dari Thailand, namun tiada pemilik dikesan di lokasi.
“Kesemua barangan bernilai RM7,000 itu dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Rantau Panjang untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes pertama disiasat mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Manakala kes kedua mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.