fb fb fb fb fb

Dybala terlepas baki perlawanan, terpaksa jalani pembedahan - AS Roma

Pemain Argentina, Paulo Dybala (tengah)/AFP

ROM, 20 Mac- Paulo Dybala bakal terlepas baki musim ini apabila penyerang Argentina itu perlu menjalani pembedahan bagi merawat kecederaan paha.

Dalam satu kenyataan, AS Roma memaklumkan bahawa Dybala akan menjalani pembedahan dalam beberapa hari lagi susulan kecederaan pada tendon kiri yang dialaminya, ketika kemenangan 1-0 ke atas Cagliari pada Ahad lalu.

"Kelab dan pemain telah bersetuju bahawa ini adalah langkah terbaik bagi memastikan pemulihan yang optimum," tambah kenyataan itu.

Roma tidak menyatakan tempoh sebenar Dybala akan diketepikan, tetapi dengan hanya sembilan perlawanan berbaki dalam kempen Serie A musim ini, pemain berusia 31 tahun itu hampir pasti tidak akan beraksi sehingga musim depan.

Kehilangan Dybala adalah tamparan hebat buat Roma, sejak kembalinya Claudio Ranieri sebagai jurulatih pada November lalu.

Pasukan itu kini dalam landasan terbaik dalam Liga Serie A selepas bergelut dengan prestasi semasa.

Setakat ini, Dybala telah menjaringkan lapan gol dan mencipta empat bantuan jaringan dalam semua pertandingan dan kepantasannya di atas padang sepatutnya menjadi elemen penting dalam usaha Roma merebut slot ke Liga Juara-Juara Eropah.

Roma kini hanya empat mata di belakang Bologna yang menghuni tangga keempat, selepas mencatat enam kemenangan berturut-turut dalam Serie A.

Sejak kekalahan terakhir mereka sebelum Krismas kepada Como, pasukan Ranieri hanya tercicir enam mata daripada 13 perlawanan liga.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM