PGA rampas 700 kg durian seludup

Pikap dipenuhi muatan buah durian dipercayai diseludup dari negara jiran/Foto PGA Briged Tenggara

RANTAU PANJANG, 10 Julai – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 700 kilogram buah durian yang dipercayai dibawa masuk secara haram dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Pengkalan Haram Abe Li Posmen, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang lelaki tempatan 22 tahun ditahan; nilai rampasan dianggarkan RM3,500.
  • Pemandu gagal kemukakan dokumen dan ditahan untuk siasatan; mengaku mengambil tempahan majikan untuk dihantar ke Pasir Puteh.
  • Buah durian dan kenderaan dirampas, diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan; kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.

Seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun turut ditahan dengan nilai rampasan buah durian dianggarkan RM3,500.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata,pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 700 kilogram buah durian di bahagian tempat duduk belakang dan ruang muatan.

“Pemandu itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan buah durian yang dibawa sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

“Hasil soal siasat mendapati suspek hanya ditugaskan mengambil buah durian yang telah ditempah majikannya sebelum dihantar ke lokasi jualan di Pasir Puteh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek yang bekerja secara sambilan mengaku menerima upah harian antara RM60 hingga RM70, bergantung kepada hasil jualan.

Beliau berkata, buah durian itu telah tersedia di tebing sungai di Pengkalan Haram Abe Li Posmen sebelum dimuatkan ke dalam kenderaan oleh beberapa lelaki yang tidak dikenal pasti.

“Buah durian bersama kenderaan yang digunakan kemudian dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.