EAST RUTHERFORD, 10 Julai-Bintang sensasi bola sepak dunia, Lionel Messi kini berada di landasan tepat bagi mempertahankan kejuaraan kali kedua berturut-turut selepas berjaya membenam cabaran Kanada 2-0 pada aksi separuh akhir sebentar tadi.
Kemenangan berkenaan membolehkan juara bertahan Copa Amerika tersebut bertemu dengan pemenang di antara Uruguay dan Colombia yang akan berentap dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
Argentina mempamerkan permainan terbaik mereka di hadapan kira-kira 82,500 penonton di Stadium MetLife di sini.
Pasukan Kanada yang mengejutkan ramai pemerhati bola sepak kali ini apabila berjaya mara ke separuh akhir pada penampilan kali pertama di Copa Amerika dilihat sukar bersaing dengan pasukan Argentina yang berada di kelas tersendiri.
Pada perlawanan tersebut, Argentina berjaya membuka jaringan pada minit ke-22 melalui Julian Alvarez selepas mendapat umpanan daripada Rodrigo De Paul.
Pasukan Kanada dilihat bergelut bagi menghalang trio Argentina iaitu Di Maria, Messi dan De Paul yang kerap kali menghadirkan ancaman terhadap benteng pertahanan pasukan berkenaan.
Argentina hampir-hampir menambah gol kedua menerusi umpanan bekas pemain sayap Real Madrid, Di Maria yang memerangkap pertahanan Kanada, namun, sepakan kaki kanan Messi tersasar sedikit sahaja di kanan gawang Kanada meskipun penjaga golnya, Max Crepeau sudah tertewas.
Bersambung babak kedua, Argentina terus mendominasi permainan dan berjaya melebarkan kedudukan 2-0 hasil jaringan Messi pada minit ke-51.
Meskipun cuba dibantah oleh Kanada yang mendakwa jaringan gol tersebut adalah batal disebabkan kedudukan Messi dalam keadaan 'offside', namun rakaman VAR menunjukkan sebaliknya.
Pasukan Kanada yang ketinggalan dilihat berpeluang mendapat gol saguhati menerusi pemain gantian, Tani Oluwaseyi yang berjaya membuatkan penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez hampir-hampir melakukan kesilapan.
Argentina kini berpeluang mencari kejuaraan kali keempat kejohanan antarabangsa dalam tempoh empat tahun selepas menjuarai kejohanan Finalissima 2022 menyaksikan pasukan berkenaan menewaskan itali.-AFP