fb fb fb fb fb

Bekas kapten ragbi England, Moody disahkan menghidap penyakit MND

Bekas ketua pasukan ragbi England, Lewis Moody

LONDON, 6 Oktober - Bekas ketua pasukan ragbi England, Lewis Moody, disahkan menghidap penyakit Motor Neurone Disease (MND), menurut pengumuman beliau pada Isnin.

Moody, 47 tahun, yang terkenal dengan gaya permainan berani dan agresif, merupakan sebahagian daripada skuad England yang menjuarai Piala Dunia Ragbi 2003. Beliau mengambil alih tugas kapten daripada Steve Borthwick pada 2010 sebelum bersara pada 2012.

Sepanjang karier 14 tahun bersama Leicester, beliau menjulang tujuh kejuaraan Liga Perdana (Premiership) dan membuat 71 penampilan bersama England.

Dalam temu bual bersama BBC, Moody berkata diagnosis itu datang secara mengejut kerana beliau masih berasa sihat.

“Saya diberitahu menghidap MND dan memang agak emosional, tapi aneh sebab saya rasa macam tiada apa-apa. Saya tak rasa sakit, cuma ada sedikit pengecutan otot di tangan dan bahu. Tapi saya masih mampu buat semua perkara seperti biasa,” katanya.

Penyakit MND adalah penyakit yang melemahkan otot secara beransur-ansur dan belum ada penawar. Beberapa tokoh ragbi seperti Doddie Weir dari Scotland dan Rob Burrow turut meninggal dunia akibat penyakit sama dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kesatuan Ragbi England (RFU), Bill Sweeney, dalam kenyataan berkata pihaknya “sangat sedih dan terkesan” dengan berita tersebut.

“Sumbangan Lewis kepada dunia ragbi, sama ada di dalam atau luar padang, mencerminkan nilai terbaik sukan ini. Seluruh komuniti ragbi berdiri teguh bersama beliau dan keluarganya dalam menghadapi ujian ini,” katanya.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE