MANCHESTER, 21 September- Pengurus Manchester United, Ruben Amorim lega daripada tekanan yang dialaminya susulan kemenangan 2-1 ke atas Chelsea, dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.
Amorim kini berjuang untuk mengelak daripada dipecat selepas permulaan musim yang mengecewakan.
The Red Devils menggunakan kelebihan di atas padang selepas penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez, dilayangkan kad merah seawal minit kelima.
Ketua pasukan, Bruno Fernandes meletakkan United di depan dengan gol ke-100 bersama kelab itu pada minit ke-14 sebelum Casemiro menggandakan jaringan pada minit ke-37.
Bagaimanapun, giliran pemain tengah Brazil itu pula diarah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua pada masa kecederaan babak pertama.
Selepas memulakan musim dengan berada hanya sedikit di atas zon penyingkiran, skuad Amorim kini melonjak sementara ke tangga kesembilan sekali gus memberi sedikit ruang bernafas buat jurulatih dari Portugal itu.
"Ia amat penting. Saya fikir kami layak menang, tetapi kami sering menyukarkan diri sendiri.
"Saya rasa kami memulakan perlawanan dengan baik dan agresif, menekan lawan dan meraikan semangat penyokong.
"Sudah tentu, kad merah oleh penjaga gol Chelsea banyak membantu kami, tetapi kami mengawal permainan dan menjaringkan dua gol. Ketika semuanya berjalan lancar, kami sendiri yang merumitkan keadaan dengan kad merah oleh Cassemiro.
"Separuh masa kedua saya rasa kami menangani permainan dengan baik, tetapi di hujungnya, 15 minit terakhir agak sukar untuk kami. Mereka menjaringkan gol dan kami terpaksa bertahan bersama-sama, akhirnya berjaya menang."
Selepas permulaan musim yang begitu buruk, Amorim berbangga dengan cara United menaikkan semangat untuk mengesahkan kemenangan kedua mereka musim ini dalam semua pertandingan.
United gagal meraih kemenangan berturut-turut dalam aksi EPL musim lalu dan Amorim mencabar anak buahnya untuk menamatkan rentetan hambar itu di Brentford hujung minggu depan.
"Kadang-kadang kami ada detik yang mana kami berasakan keperluan mendesak untuk mendapat keputusan positif. Pasukan ini sudah banyak kali menunjukkan kami ada keperluan mendesak itu.
"Hari ini kami menang. Memang seronok untuk menang, tetapi lupakan itu dan kembali kepada keperluan mendesak itu. Kami perlu menang perlawanan seterusnya. Itulah perkara paling penting. – AFP