Rakyat Palestin mengundi bagi pilihan raya Majlis Perbandaran

Foto AFP

PALESTIN, 25 April – Rakyat Palestin di Tebing Barat dan kawasan tengah Gaza mengundi bagi pilihan raya majlis perbandaran pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pilihan raya tempatan pertama sejak konflik antara Israel dan Hamas memuncak pada Oktober 2023.
  • Hampir 1.5 juta pengundi berdaftar di Tebing Barat, dan kira-kira 70,000 di Deir el-Balah, Gaza.
  • Kebanyakan calon menyokong Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas, tiada calon Hamas direkodkan, banyak cabaran daripada calon bebas.
  • Majlis perbandaran penting untuk perkhidmatan asas seperti air, sanitasi dan infrastruktur tetapi tiada kuasa menggubal undang-undang.

Ia pilihan raya tempatan pertama yang diadakan sejak konflik Israel dengan Hamas memuncak pada Oktober 2023.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat yang berpangkalan di Ramallah, hampir 1.5 juta pengundi berdaftar di Tebing Barat yang diduduki Israel, manakala kira-kira 70,000 lagi di kawasan Deir el-Balah, Gaza.

Pilihan raya kali ini menyaksikan kebanyakan calon yang bertanding mempunyai kecenderungan untuk menyokong kumpulan Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Bagaimanapun, tiada calon daripada Hamas yang direkodkan bertanding dengan kebanyakan kawasan memperlihat wakil Fatah berdepan cabaran daripada calon bebas.

Pusat pengundian di Tebing Barat ditutup pada pukul 7 malam, manakala di Deir el-Balah ditutup lebih awal pada pukul 5 petang bagi memudahkan pengiraan undi susulan kekurangan bekalan elektrik di Gaza.

Majlis perbandaran memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan asas seperti air, sanitasi dan infrastruktur tempatan, namun tidak mempunyai kuasa menggubal undang-undang. – AFP