Terbuka Madrid: Sinner bermandi peluh, Shelton tersingkir

Foto REUTERS

MADRID, 25 April – Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner, terpaksa bekerja keras sebelum berjaya mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya di Terbuka Madrid pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jannik Sinner bangkit menewaskan Benjamin Bonzi 6-7(6), 6-1, 6-4 untuk mara ke pusingan seterusnya.
  • Lawannya di pusingan ketiga ialah pemain kelayakan Denmark, Elmer Moller.
  • Dino Prizmic, 20, mengejutkan dengan menyingkirkan Ben Shelton 6-4, 6-7(4), 7-6(5).
  • Lorenzo Musetti terus bangkit menewaskan Hubert Hurkacz 6-4, 7-6(3).

Turut mengikut jejak langkah beliau ialah rakan senegara dari Itali, Lorenzo Musetti.

Namun nasib tidak menyebelahi pemain pilihan keempat, Ben Shelton, yang ditunjukkan jalan keluar lebih awal.

Sinner, yang turun selaku pilihan utama kejohanan Masters 1000 bermula agak hambar apabila tewas pada set pertama kepada wakil Perancis, Benjamin Bonzi.

Bagaimanapun, beliau kembali menemui rentak permainan untuk mencatatkan kemenangan 6-7(6), 6-1, 6-4.

Lawan Sinner di pusingan ketiga ialah pemain kelayakan dari Denmark, Elmer Moller, yang mara selepas menyingkirkan wakil Kanada, Gabriel Diallo.

Pemain kelayakan dari Croatia, Dino Prizmic melakukan kejutan pada kejohanan selepas menyingkirkan Ben Shelton dalam perlawanan penuh mendebarkan selama tiga jam.

Shelton, yang baru sahaja merangkul kejuaraan Terbuka Munich, cuba bangkit pada set kedua selepas tewas set pembukaan.

Namun, Prizmic, 20, mempamerkan ketabahan luar biasa untuk memenangi set penentuan menerusi tiebreak, sekali gus melakar kemenangan terbesar dalam kerjayanya dengan keputusan 6-4, 6-7(4), 7-6(5).

Sementara itu, Lorenzo Musetti meneruskan rentak kebangkitan selepas dibayangi masalah kecederaan musim ini dengan menewaskan jaguh Poland, Hubert Hurkacz, 6-4, 7-6(3).

Dalam satu lagi aksi, pemain Republik Czech, Jiri Lehecka, turut mengesahkan kemaraan selepas bangkit menumpaskan wakil Chile, Alejandro Tabilo, dengan keputusan 3-6, 7-6(3), 6-4. – REUTERS