PUTRAJAYA, 28 Jun - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri N43 Nenggiri, Kelantan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.6 juta.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, seramai 431 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Dewan Negeri Nenggiri.
"Manakala, sebanyak 20 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 46 tempat mengundi dan satu pusat mengundi awal yang mengandungi satu tempat mengundi awal akan digunakan.
"Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 21 buah dengan 47 tempat mengundi," katanya.
Beliau berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK Dewan Negeri Nenggiri adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan April 2024 yang dikemaskini sehingga 18 Jun 2024.
"DPPR ini mengandungi seramai 20,259 orang pemilih yang terdiri daripada 20,245 orang pengundi biasa dan 14 orang anggota polis," katanya pada sidang media di ibu pejabat SPR di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ramlan berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos luar dan dalam negara dibuka bermula hari ini.
Katanya, tarikh tutup permohonan bagi kategori 1A membabitkan petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis, tentera dan petugas media adalah 30 Julai.
"23 Julai pula adalah tarikh tutup bagi kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan 1C membabitkan agensi atau organisasi," katanya.
SPR menetapkan hari pengundian PRK Dewan Negeri Nenggiri, Kelantan pada 17 Ogos depan manakala pengundian awal pada 13 Ogos.
Media sebelum ini melaporkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengumumkan kerusi Dewan Negeri Nenggiri dikosongkan.
Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu, menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Bersatu mengenai keahlian bekas Adun Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada Bersatu.
Susulan itu, Mohd Azizi memfailkan injunksi untuk menghentikan pilihan raya kecil DUN itu daripada diadakan sehingga saman pemulanya diputuskan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menolak permohonan injunksi terbabit.
ARTIKEL BERKAITAN:
- PRK Dewan Negeri Nenggiri: Pengundian pada 17 Ogos depan
- Mahkamah tolak permohonan injunksi sementara Mohd Azizi henti PRK DUN Nenggiri
- Mohd Azizi lengkapkan fail afidavit, cabar keputusan kekosongan kerusi DUN Nenggiri
- Mesyuarat Khas PRK N43 Nenggiri, 28 Jun ini- SPR
- 'Saya akan dapatkan perintah injunksi mahkamah ' - ADUN Nenggiri
- Speaker DUN Kelantan umum kekosongan kerusi DUN Nenggiri