fb fb fb fb fb

PRK Dewan Negeri Nenggiri: Pengundian pada 17 Ogos depan

SPR membuat pengumuman tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri N43 Nenggiri hari ini

PUTRAJAYA, 28 Jun - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri N43 Nenggiri, Kelantan pada 17 Ogos depan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 3 Ogos manakala bagi pengundian awal, tarikh yang ditetapkan ialah 13 Ogos.

Beliau berkata, tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 3 Ogos sehingga pukul 11.59 malam, 16 Ogos.

Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang media di ibu pejabat SPR di sini hari ini.

Mesyuarat pada hari ini turut dihadiri Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom dan Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak.

Pada 19 Jun lepas, Ikmalrudin dilaporkan berkata, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berhubung kekosongan luar jangka kerusi N43 Nenggiri.

Keputusan dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun lepas.

Menurut Mohd Amar, parti Bersatu pada 12 Jun lepas juga memaklumkan Mohd Azizi telah hilang keahlian, dan seterusnya berlaku kekosongan luar jangka pada kerusi berkenaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN