GUA MUSANG, 19 Jun- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim memaklumkan akan berbincang dengan peguamnya bagi mendapatkan perintah injuksi mahkamah berhubung kekosongan kerusi yang disandangnya.
Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang ketika dihubungi RTM berkata, keputusan yang dibuat oleh DUN Kelantan hanya berdasarkan notis pemecatannya sebagai ahli BERSATU.
"Saya tidak terkejut kerana saya sudah jangka pengumuman seperti hari ini akan berlaku. Bagaimanapun saya tidak mahu mengulas lanjut dan akan membawa kes ini ke mahkamah.
"Esok saya akan mengadakan perbincangan dengan peguam berhubung keputusan yang dibuat oleh Kelantan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada sidang media di pejabatnya, mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan berkuatkuasa hari ini.
Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun dan BERSATU pada 12 Jun lalu, yang memaklumkan hilang keahlian BERSATU dan seterusnya berlaku kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN BERSATU sudah digugurkan keahliannya serta-merta.
Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) yang juga ADUN Nenggiri, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Seorang lagi ialah ADUN Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari.