fb fb fb fb fb

Aidiladha: PDRM terima sumbangan 22 ekor lembu untuk dikorbankan

Datuk Seri Ayob Khan (dua dari kanan) pada Majlis Korban Perdana sempena Hari Raya Aidiladha di Masjid Al-Amin Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, Cheras

KUALA LUMPUR, 19 Jun- Sebanyak 22 ekor lembu disumbangkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Hari Raya Aidiladha kali ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daging korban itu akan diagihkan kepada warga PDRM dan golongan yang memerlukan.

Datuk Seri Ayob Khan berharap sumbangan tersebut dapat memberi keceriaan kepada penerima, selain memupuk semangat perpaduan dan kerjasama menerusi aktiviti gotong-royong yang dijalankan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Korban Perdana sempena Hari Raya Aidiladha di Masjid Al-Amin Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, Cheras.

Pengagihan daging korban tersebut, hasil sumbangan Persatuan Bekas Unit Tindakan Khas Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Anugerah Kasih Malaysia (PERKASIH), MyFundAction serta Persatuan Keluarga Polis.

Sementara itu, MyFundAction turut menerima kolaborasi bernilai RM236,439 daripada Tabung Solidariti Palestin PDRM, yang akan diberikan sepenuhnya kepada Palestin.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE