
ISLAMABAD, 8 Februari – Pihak berkuasa Pakistan telah menahan empat individu yang disyaki terlibat dengan serangan bom yang meragut 31 nyawa di sebuah masjid di Islamabad.
- Empat suspek ditahan berkaitan serangan bom, termasuk individu yang disyaki dalang.
- Operasi di Peshawar dan Nowshera menyebabkan seorang pegawai terbunuh dan tiga cedera.
- Serangan itu mencetuskan kebimbangan keselamatan; sekatan polis dipasang di jalan utama bandar.
Menteri Dalam Negeri Pakistan, Moshin Naqvi berkata empat individu berkenaan termasuk suspek dalang serangan, ditahan selepas operasi di Peshawar dan Nowshera.
Insiden berkenaan turut menyebabkan seorang pegawai terbunuh dan tiga lagi cedera semasa operasi itu.
Dalam serangan pada Jumaat lalu, seorang lelaki telah melepaskan tembakan di Masjid Khadija Tul Kubra Imambargah sebelum meletupkan bom yang mengorbankan 31 jemaah dan mencederakan lebih 170 lagi.
Meskipun serangan bom jarang berlaku di Islamabad namun ia merupakan serangan kedua dalam tempoh tiga bulan dan mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya keganasan di pusat bandar utama Pakistan.
Keselamatan diperketat di seluruh bandar, dengan sekatan polis dipasang di semua jalan utama dan jalan yang menuju ke lokasi penting.- REUTERS