fb fb fb fb fb

Mohd Azizi lengkapkan fail afidavit, cabar keputusan kekosongan kerusi DUN Nenggiri

Foto BERNAMA

GUA MUSANG, 23 Jun- Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim bersama barisan peguamnya masih melengkapkan beberapa dokumen sebelum memfailkan afidavit di mahkamah bagi mencabar keputusan berhubung kekosongan kerusi yang disandangnya.

Mohd. Azizi berkata pihaknya akan memfailkan afidavit berkenaan menerusi dalam talian sahaja selepas dokumen berkaitan dilengkapkan.

Menurutnya, pihaknya telah memfailkan injunksi supaya mahkamah menangguhkan keputusan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam masa terdekat.

"Kita ada tiga defendan utama iaitu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan defendan ketiga adalah Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah."

"Mengikut penjelasan peguam kepada saya berkaitan hal ini supaya dalam mahkamah kita nak tangguh dahulu pilihan raya, seperti mana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kata akan bermesyuarat pada 28 Jun. Jadi, kita minta mahkamah tangguhkan untuk sementara," kata Mohd Azizi kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi 1 di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, Kelantan. 

Sementara itu, Mohd. Azizi berkata dia masih meneruskan tugasnya sebagai wakil rakyat di DUN Nenggiri biarpun kerusi itu sudah diisytiharkan kosong.

Katanya, walaupun kerusi DUN Nenggiri sudah diisytiharkan kosong, namun beliau masih lagi Ahli Parlimen Gua Musang serta meneruskan tugasnya kepada rakyat di ketiga-tiga DUN.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM